Monday, 21 December 2015

Adat Perkahwinan Suku Kaum Dusun Minokok


Bentuk perkahwinan sebenarnya berbeza mengikut kebudayaan masyarakat. Dalam kajian ini, adat perkahwinan suku kaum dusun Minokok adalah berasaskan Konsep Monogami dimana keluarga masyarakat Minokok terdiri daripada seorang suami dan seorang isteri pada masa yang sama. Konsep monogami ini terbahagi kepada dua iaitu serial monogami dan non-serial monogami. Serial monogami merupakan seseorang yang boleh mempunyai pasangan lain selepas bercerai atau kematian pasangannya. Dalam masyarakat Minokok, sekiranya seorang isteri meninggal dunia, suaminya perlu berkabung dan tidak boleh mencari pengganti dalam masa setahun. Setelah genap setahun, barulah suami boleh mencari pengganti. Begitu juga sebaliknya jika seorang suami meninggal, seorang isteri perlu berkabung selama setahun dan tidak dibenarkan bersama lelaki lain selama tempoh perkabungan itu. Non-serial monogami juga diamalkan dalam masyarakat Minokok, dimana terdapat sebilangan masyarakat Minokok yang mempunyai hanya seorang pasangan di sepanjang hidupnya.

Kaum lelaki daripada suku kaum ini tidak dibenarkan mengamalkan poligini iaitu mempunyai isteri lebih dari seorang manakala kaum wanita juga tidak dibenarkan mengamalkan poliandri iaitu mempunyai suami lebih dari seorang. Ini bermaksud, masyarakat Minokok tidak mengamalkan konsep Poligami.

          Perkahwinan masyarakat Minokok boleh dikategorikan kepada dua iaitu perkahwinan rela dan perkahwinan secara paksaan (takob). Perkahwinan rela akan melalui empat fasa iaitu fasa merisik (momuhaboi), meminang (momogong), bertunang (mipogong) dan berkahwin (misavo). Sementara perkahwinan secara paksaan akan terus dikahwinkan tanpa melalui empat prosedur perkahwinan yang betul.

1. 0 PERKAHWINAN RELA

1.1 Fasa Merisik (momuhaboi)

          Merisik dapat didefinisikan sebagai menyelidik sesuatu secara dalam-dalam atau mendapatkan kepastian mengenai sesuatu perkara. Dalam konteks adat perkahwinan, merisik membawa maksud menyelidik latar belakang pihak wanita yang ingin dirisik bagi mendapatkan kepastian sama ada sudah berpunya atau belum.

Dalam fasa ini, keluarga calon lelaki atau tanak wagu akan saling mengenali dengan keluarga calon wanita (sumandak). Lelaki yang berkenan dengan seorang wanita perlu menghantar rombongan untuk bertanya mengenai latar belakang calon wanita. Menurut responden, semasa rombongan merisik itu datang ke rumah pihak wanita, keluarga pihak wanita akan menetapkan syarat iaitu sama ada pihak lelaki perlu membayar RM 50.00 atau memberikan gong sebagai buka mulut. Dalam adat perkahwinan suku ini, buka mulut bererti ada bayaran sebelum bertanya suatu soalan mengenai latar belakang wanita itu. Pihak lelaki tidak boleh bertanya sebarang soalan sekiranya belum membayar RM 50.00 ataupun memberikan gong.

Selepas pihak lelaki menyerahkan bayaran RM 50.00 atau memberikan gong, barulah mereka dibenarkan bertanya soalan mengenai wanita yang dirisik. Menurut ketua kampung, jika ibu bapa pihak wanita berkenan kepada calon lelaki, maka pihak lelaki boleh meninggalkan apa-apa barang seperti sarung (gansing atau gonob dalam bahasa dusun Minokok) sebagai tanda. Tanda itu merupakan suatu perjanjian antara keluarga lelaki dan keluarga wanita. Maka pihak wanita akan diberikan tempoh selama sehari sama ada ingin menyimpan tanda itu atau tidak. Jika calon wanita itu tidak berkenan dengan calon lelaki, maka keluarga wanita perlu mengembalikan sarung sebelum habis tempoh yang diberikan. Sekiranya keluarga wanita tidak mengembalikan sarung, maka calon wanita dianggap telah bersetuju untuk ke peringkat seterusnya iaitu momogong.

1.2 Fasa Meminang (momogong)

          Meminang membawa maksud mengutarakan cadangan untuk dipertimbangkan atau dengan kata lain melamar. Dalam konteks masyarakat Minokok, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam fasa ini seperti berian (mas kahwin), ampit (menyelit), kotoliban (mendahului), kooduan (permintaan nenek), sakit beranak dan belanja dapur.

Pada zaman dahulu, berian (mas kahwin) lazimnya bukan berbentuk wang tetapi dalam bentuk kotos. Kotos membawa maksud sesuatu barangan antik seperti tajau. Calon lelaki perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 kotos untuk meminang calon wanita. Pada zaman ini, berian lazimnya berbentuk wang. Di Kampung Maliau, amaun berian telah ditetapkan oleh pemimpin kampung iaitu sebanyak RM 4 000.00 berserta kain sarung. Penggunaan berian juga ada peraturan dan pantang larangnya. Ibu bapa calon wanita dilarang menggunakan duit berian untuk membeli barang-barang yang dianggap panas seperti periuk, belangga dan lain-lain. Sekiranya ibu bapa calon wanita menggunakan duit berian untuk membeli barangan panas seperti periuk dan calon wanita tersebut menggunakan barangan itu, maka calon wanita dipercayai akan jatuh sakit. Sogit perlu dijalankan agar calon wanita dapat disembuhkan. Sogit adalah denda yang mengorbankan haiwan dimana haiwan tersebut perlu disembelih dan darahnya dibiarkan mengalir di atas tanah. Manuk (ayam), kalabau (kerbau) dan vogok (babi) sering dijadikan korban untuk menjalankan aktiviti sogit.

Selain itu, calon lelaki perlu memberi perhatian kepada permintaan ibu bapa calon wanita mengenai hantaran. Daun kirai dan barangan antik sering dijadikan hantaran oleh calon lelaki kepada calon wanita. Barangan seperti itu wajib ada sebagai hantaran dalam setiap prosedur meminang masyarakat Minokok. Daun kirai ini merupakan kulit jagung yang akan dijadikan rokok oleh masyarakat Minokok suatu ketika dahulu sehingga kini. Semasa perbincangan mengenai bayaran berian berlangsung, keluarga calon lelaki perlu mempelawa orang-orang yang ada pada ketika itu untuk menghisap rokok daun kirai. Pelawaan itu merupakan cara keluarga calon lelaki cuba menjalinkan ikatan yang akrab dan boleh menunjukkan kesungguhan calon lelaki untuk mengahwini calon wanita. Antara barangan hantaran lain adalah barangan yang menunjukkan etnik suku kaum calon lelaki seperti sumpit, tempayan, dan gong. Terdapat pelbagai jenis gong yang melambangkan suku kaum Minokok. Antaranya ialah Tagung Laid, Gong Besi dan Gong Sanang. Tempayan masyarakat Minokok lazimnya berukiran lambang naga atau ayam. Berian seharusnya disimpan dengan baik dan akan diberikan kepada adik-beradik lelaki calon wanita yang hendak berkahwin pada masa akan datang.

Ampit (menyelit) merupakan sesiapa anggota keluarga yang pernah menolong ibu bapa membesarkan calon wanita tersebut boleh memohon untuk mendapatkan sejumlah wang daripada calon lelaki. Hanya anggota keluarga sebelah pihak wanita sahaja yang boleh memohon ampit ini. Sebagai contoh, mak cik calon wanita pernah menjaga calon wanita dari wanita itu berumur 15 sehingga 20 tahun. Semasa peminangan calon wanita, sekiranya mak cik calon wanita meminta RM 100.00 daripada pihak lelaki, maka pihak lelaki perlu membayar RM100.00 kepada mak cik calon wanita.

Kotoliban (mendahului) bermaksud seorang adik perempuan terlebih dahulu bertemu jodoh sebelum kakaknya. Calon lelaki perlu memberikan satu kotos kepada adik-beradik calon wanita yang lebih tua dan belum berkahwin. Pada zaman ini, calon lelaki sekurang-sekurangnya perlu memberikan RM 100.00 kepada kakak calon wanita yang belum berkahwin.

Kooduan (permintaan nenek) pula ialah nenek atau moyang disebelah calon wanita boleh memohon untuk mendapatkan kotos daripada calon lelaki. Hal ini kerana, odu atau nenek calon wanita tersebut amat sedih untuk berpisah dengan cucunya yang bakal berkahwin.

Calon lelaki juga perlu membayar sejumlah wang kepada ibu bapa calon wanita sebagai bayaran sakit beranak. Bayaran ini adalah wajib diberikan oleh calon lelaki kepada ibu bapa calon wanita. Jumlah bayaran adalah mengikut permintaan dan pertimbangan daripada keluarga calon wanita. Pada zaman dahulu, calon lelaki perlu memberikan sekurang-kurangnya 2 kotos kepada keluarga calon wanita sebagai bayaran sakit beranak. Pada zaman ini, lazimnya calon lelaki akan membayar RM 1 000.00 sebagai bayaran sakit beranak dan jumlah itu merupakan jumlah maksimum dimana tidak boleh lebih daripada jumlah tersebut namun boleh dikurangkan mengikut pertimbangan ibu bapa calon wanita.

Belanja dapur adalah sejumlah bayaran untuk menampung segala perbelanjaan majlis bertunang (mipogong) dan berkahwin (misavo) yang dijalankan oleh suku kaum dusun Minokok. Jumlah belanja dapur juga ditentukan oleh keluarga calon wanita.

1.3 Fasa Bertunang (mipogong)

          Setelah semua bayaran dilunaskan, kedua-dua calon lelaki dan wanita akan ditanya soalan bagi mendapat kepastian adakah mereka benar-benar mahu berkahwin. Ketua kampung akan bertanya soalan kepada calon lelaki terlebih dahulu. Berikut merupakan contoh soalan yang lazim ditanya oleh ketua kampung:

“ondu, arai koh ti sumandak? Monginomod koh manansavo dialo?”

Soalan itu bermaksud, “anak lelaki, adakah anda menyukai gadis ini? Adakah anda benar-benar ingin mengahwini dia?”

Sekiranya calon lelaki itu mengatakan bahawa dia menyukai dan benar-benar ingin berkahwin dengan gadis itu, maka ketua kampung akan menanyakan soalan yang sama kepada calon wanita.

“atong, arai koh ti kusai? Monginomod koh monorimo dialo?”

Soalan itu bermaksud, “anak perempuan, adakah anda menyukai lelaki ini? Adakah anda benar-benar menerima dia?”

          Apabila kedua-dua calon sudah bersetuju, maka calon lelaki dan wanita sudah boleh melangsungkan fasa bertunang (mipogong). Mipogong ini akan dijalankan oleh ketua kampung (tua) dan disaksikan oleh semua penduduk kampung. Pada zaman dahulu, majlis bertunang tidak menggunakan cincin sebagai tanda pertunangan. Masyarakat Minokok zaman dahulu menggunakan gelang besi nipis yang dipanggil dengan nama saring. Saring seolah-olah berwarna seperti keemasan tetapi bukan emas.

          Setelah selesai mipogong, keluarga calon lelaki dan calon wanita berserta ketua kampung akan membuat simpulan rotan atau sakau sebagai timbagos iaitu sebagai simbol pengiraan tarikh perkahwinan. Sekiranya tarikh perkahwinan yang ditetapkan akan dilangsungkan selama 6 hari, maka dalam satu hari satu simpulan akan dipotong. Simpulan terakhir yang dipotong menandakan hari esoknya akan berlangsung majlis perkahwinan.


1.4 Fasa Berkahwin (misavo)

          Simpulan terakhir yang dipotong menandakan hari esok merupakan hari perkahwinan ataupun hari penyatuan antara calon lelaki dan calon wanita. Calon lelaki akan diiringi beramai-ramai oleh masyarakat suku kaumnya dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang tua.

Aasakai noi tansirung        
(semua kamu datang)

Tansirung id dalingob         
(kamu datang di tempat yang tidak diketahui ini)

Oi rumikot id walai _______ (nama pengantin perempuan) 3x    (datang di rumah kami

Rungkowitan kui dirung 2x             kami sambut kamu dengan gembira

Dirung kai                sangat gembira

Dirung siti dalingob    gembira di tempat ini

          Pengantin perempuan akan diletakkan di tempat yang tinggi yang dipanggil sebagai  tindul-tindul. Tindul-tindul ini dibina oleh bapa pengantin perempuan dan tersedia satu tangga yang panjang. Tempat yang tinggi itu turut dikenali sebagai norizan. Pengantin perempuan akan berada di atas tindul-tindul bersama-sama dengan adik-beradik perempuan atau kawan-kawan perempuan sehingga ketibaan pengantin lelaki. Apabila pengantin lelaki telah sampai di rumah pengantin perempuan, bapa pengantin perempuan berperanan untuk menjemput turun anaknya yang akan dikahwinkan itu. Prosedur ini dipanggil sebagai poindau dii sumandak.

Pengantin perempuan akan memakai pakaian tradisi iaitu baju morindon (Gambar 3.0). Pengantin perempuan akan diiringi oleh seorang pengapit yang juga memakai baju tradisi biasa. Pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan duduk di pelamin yang telah dihias dengan bunga-bunga hidup. Penduduk kampung akan mula menari (sumazau) dan menyanyi (suminding) bersukaria dengan majlis perkahwinan itu. Mereka akan sumazau dan suminding tayung sambil mengelilingi pengantin lelaki dan penganti perempuan. Lagu yang dinyanyikan semasa mengelilingi pasangan berkahwin dikenali sebagai tayung.

Lirik Rinait semasa majlis perkahwinan :


Adoii sonsoyo ai                oh anak gadisku                

Adoii oi tuun sosoi              oh turunlah bertemu pasanganmu

Doi oyo oi                        oh anakku

Aasakai noi tansirung          semua kamu datang

Mongolili sosoi                            bawa anak gadisku untuk balik

Sosoyon kai dirung             bersama rombongan dengan gembira

          Majlis perkahwinan suku kaum dusun Minokok biasanya dijalankan selama dua hari. Masyarakat Minokok akan bersukaria dengan pelbagai jenis makanan yang dihidangkan menggunakan daun tarap atau daun pisang. Selain itu juga, minuman yang memabukkan ada disediakan dan setiap orang yang hadir pada majlis perkahwinan itu perlu meminum tapai dalam tajau.

Selepas majlis perkahwinan, pengantin perempuan akan mengikuti suaminya pulang ke rumah. Lagu tayung akan dinyanyikan semula sehingga pasangan pengantin baru itu tiba di rumah pengantin lelaki. Tayung menggambarkan perasaan gembira dan sukaria atas penyatuan dua individu. Tayung juga menggambarkan keluarga lelaki menerima baik menantu mereka.

Pada saat-saat keluarga pengantin perempuan merindui anak perempuan mereka, mereka akan menyanyikan lagu tuyuyui atau suminding (ososoduanan). Ososoduanan bermaksud seseorang sedang dalam kesedihan.

Tuyuyui…
Oh onggo boh yobo
sosoduo kou
Langadon oku dika

Oh dimanakah engkau
Jauh engkau berada
Aku rindu padamu

PANTANG LARANG
Ada pantang larang dalam majlis perkahwinan masyarakat Minokok ini iaitu sekiranya semasa dalam perjalanan pengantin lelaki ke rumah calon perempuan untuk melangsungkan majlis perkahwinan, jika ada haiwan liar seperti ular melintas di hadapan calon lelaki, perkara itu dianggap nasib yang tidak baik.  Selain itu juga, bunyi burung lokiu dan dahan pokok yang belum reput tetapi patah semasa perjalanan ke rumah pengantin perempuan juga dianggap sebagai petanda yang tidak baik. Rombongan pengantin lelaki perlu berhenti menyanyi dan pulang ke rumah bagi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku. Mereka perlu menunggu selama setahun kemudian barulah boleh melangsungkan semula perkahwinan yang tertunda itu. Namun perkahwinan itu hanya akan berlangsung sekiranya kedua-dua lelaki dan wanita itu mengambil keputusan masih mahu bersama.

PERKAHWINAN SECARA PAKSAAN

Majlis perkahwinan bagi perkahwinan secara paksaan pula dijalankan sama seperti prosedur perkahwinan rela namun tanpa persediaan majlis yang rapi. Perbezaannya, perkahwinan paksa tidak melalui prosedur merisik (momuhaboi), meminang (momogong) dan bertunang (mipogong). Perkahwinan jenis ini akan terus ke peringkat berkahwin (misavo). Pengantin perempuan dipaksa berkahwin dengan pengantin lelaki. Dalam konteks kahwin paksa ini, apabila seorang lelaki menyukai seseorang gadis, pihak lelaki akan datang ke rumah gadis tersebut dan membawanya dengan paksaan untuk dikahwinkan. Situasi ini dikenali sebagai takob oleh masyarakat Minokok. Perkahwinan secara paksa sering menimbulkan peristiwa tidak baik dimana berlakunya pergaduhan apabila keluarga gadis itu cuba mempertahankan gadis tersebut daripada di takob oleh keluarga lelaki.

Kaedah Pemilihan Pasangan

Pengertian Pemilihan Pasangan

Dalam konteks ini, pasangan dapat diertikan sebagai dua manusia yang terdiri dari seorang wanita dan seorang lelaki saling melengkapi antara satu sama lain. Memilih pasangan bererti memilih seseorang yang diharapkan dapat menjadi teman hidup, seseorang yang dapat dijadikan pasangan sebagai orang tua kepada anak-anak kelak (Lyken dan Tellegen, 1993). Pemilihan pasangan yang dilakukan oleh individu, biasanya berdasarkan memilih calon yang menepati cirri-ciri yang diinginkan oleh seseorang individu tersebut dan berdasarkan suatu pemikiran bahawa seseorang individu akan memilih pasangan yang dapat melengkapi keperluan. (Degenova, 2008).


1. Konsep Eksogami

[1]Seperti yang dihujahkan oleh Malinowski, eksogami, iaitu larangan berkahwin di antara anggota kelompok keturunan yang sama. Perkahwinan antara anggota kelompok keturunan unilinear dilarang, tetapi perkahwinan dengan anggota di luar salasilah yang dibenarkan.

Masyarakat Minokok lebih mengamalkan konsep Eksogami dalam pemilihan pasangan. Konsep eksogami ialah suatu amalan atau peraturan pemilih pasangan dengan memilih pasangan hidup daripada kelompok luar dari kelompoknya iaitu mereka yang tidak mempunyai ikatan persaudaraan. Ikatan kekeluargaan bagi masyarakat Minokok begitu kuat dan dilarang sama sekali untuk berkahwin dengan anggota keluarga sendiri. Hal ini kerana, seorang individu suku kaum Minokok yang memilih pasangan dalam kelompok masyarakatnya sendiri dipercayai akan menyebabkan bumi menjadi panas, makanan terasa pahit dan pasangan itu akan mengalami musibah seperti sakit penyakit.

Namun, dalam masyarakat Minokok, terdapat peraturan eksogami salasilah. Perkahwinan eksogami salasilah ini bermaksud  masyarakat Minokok boleh berkahwin antara sesama suku jika  mereka berada dalam generasi yang ketujuh. Hubungan kekeluargaan yang agak jauh atau dengan kata lain hubungan yang sudah bau-bau bacang.

2. Peranan Ibu Bapa

          Dalam masyarakat Minokok, ada istilah yang dikenali sebagai misulak. Misulak merupakan perkahwinan yang dirancang oleh ibu bapa. Sebagai contoh, seorang lelaki A hanya boleh berkahwin dengan wanita B sekiranya adik perempuan atau kakak lelaki A akan dikahwinkan pula dengan adik lelaki atau abang wanita B. Syarat itu merupakan perjanjian yang ditetapkan sama ada oleh ibu bapa lelaki A atau ibu bapa wanita B. Situasi lelaki A dan wanita B wujud perasaan suka sama suka. Manakala, situasi yang kedua bersifat paksaan.

          Namun begitu, ibu bapa juga berperanan untuk mempersetujui perkahwinan anaknya tanpa meletakkan syarat misulak. Jika calon menantu berjaya mengambil hati bakal mentua, maka persetujuan ibu bapa itu mudah untuk dicapai.

          Ibu bapa juga berperanan untuk menjaga anak gadis mereka daripada di takob oleh keluarga lelaki yang menyukai anaknya. Hal ini adalah untuk menghormati pilihan anak mereka yang tidak ingin berkahwin dengan mana-mana lelaki yang tidak berkenan dihati gadis itu.

3. Karakteristik Personal

Ketika seorang individu memilih pasangan, ia juga melihat kepada personaliti calon pilihannya itu. Antara aspek yang akan dilhat dalam menilai personaliti untuk memilih pasangan ialah sikap, tingkah laku, perbezaan umur, tahap pendidikan atau pengetahuan, dan memiliki kesamaan sikap dan nilai antara pemilih pasangan dan calon pilihannya. Faktor utama yang lazimnya menjadi alasan dalam perkahwinan ialah homogeneus iaitu individu akan memilih pasangan yang dirasakannya sesuai bagi dirinya dan tidak berasa selesa bersama calon yang agak berbeza karakter dari karakter individu yang mencari pasangan hidup.

Menurut ketua kampung, masyarakat Minokok juga akan memilih pasangan yang mempunyai bakat dari segi berburu, tarian dan nyanyian. Lelaki suku Minokok yang handal berburu sangat disukai oleh ramai gadis (sumandak) dusun Minokok. Lelaki dan perempuan yang tahu menari (sumazau) dan menyanyi (suminding) dilihat sangat menarik dan mempengaruhi kaedah pemilihan pasangan.

4 Perkahwinan antara ras dan suku

Masyarakat Minokok tidak boleh berkahwin sesama suku. Hal ini bermaksud, seorang wanita Minokok tidak boleh berkahwin dengan seorang lelaki Minokok. Adat ini telah lama dipraktikan dalam kehidupan masyarakat Minokok sejak bertahun lama dahulu. Sekiranya terdapat masyarakat yang ingkar dan berkeras untuk berkahwin sesama suku Minokok, maka akan ada tulah yang bakal dihadapi di kampung mereka. Mengikut kepercayaan, bumi akan menjadi panas, semua makanan akan dirasa pahit dan penduduk di kampung hidup dalam keadaan yang tidak aman. Bagi merperbaiki keadaan itu, sogit perlu dijalankan di kampung. Haiwan seperi manuk (ayam), kalabau (kerbau) atau vogok (babi) perlu dikorbankan dan daging sembelihan haiwan itu akan diedarkan kepada seluruh penduduk kampung.

5. Kelas sosioekonomi

Kelas Sosioekonomi juga menjadi faktor yang mempengaruhi seseorang dalam membuat pemilihan pasangan. Apabila seseorang yang memilih pasangan dengan status ekonomi yang rendah, kemungkinan kepuasan pernikahannya akan kurang baik bila dibandingkan dengan individu yang memilih pasangan yang berasal dari kelas ekonomi yang tinggi.

Dalam masyarakat Minokok, seorang lelaki akan dianggap memiliki kedudukan yang tinggi sekiranya tahu berburu, tahu meminum minuman tapai, mempunyai baju yang banyak, mempunyai tajau yang banyak dengan pelbagai jenis ukiran, dan mempunyai gong. Antara jenis tajau ialah tajau sabar, tajau sapa, tajau tomou, tajau tongomongom, tajau sampapanang dan tajau tongkurovon. Gong pula terdiri daripada tagung laid, gong besi dan sanang. Seorang lelaki juga dianggap berkedudukan tinggi sekiranya memiliki kepahlawanan iaitu mampu mempertahankan kampung sekiranya diserang oleh musuh. Tempayan berukiran ayam atau naga, sumpit, sopuk, pedang, parang dan alat memburu yang lain juga menunjukkan kekayaan seorang lelaki dusun Minokok.

Berdasarkan huraian berkaitan faktor yang mempengaruhi pemilihan pasangan tersebut, maka dapat disimpulkan bahawa pemilihan pasangan perlu melalui beberapa proses yang harus dilakukan oleh setiap individu seperti kawasan yang ditentukan (the field of elogibles), kedekatan (propinquinty), daya tarik (attraction), homogamy and hetrogamy, dan kecocokan (compability)

 *Maklumat ini didapati setelah saya menjalankan kajian di sebuah kampung. Paparan ini adalah untuk berkongsi ilmu. Terima kasih kerana membaca :)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.